[Video] Kanak-Kanak Malaysia Direkrut Jadi Pejuang ISIS – Awasi Anak Anda!

SATU kajian oleh Pusat Kajian Pew, yang berpangkalan di Amerika Syarikat, pada tahun lalu mendedahkan sekurang-kurangnya 11 peratus rakyat Malaysia bersimpati terhadap kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) dan peratusan itu lebih tinggi berbanding rakyat Indonesia (4 peratus) - negara dengan penduduk Islam paling ramai di dunia.

Dan ia terbukti, apabila di Malaysia telah pun menyaksikan penglibatan golongan muda Islam untuk turut serta berjuang di medan peperangan yang berlaku di Syria atas nama “jihad” dan “syahid”.

Terbaharu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan dua pengebom berani mati yang terbabit dalam kejadian serangan militan di Iraq dan Syria baru-baru ini adalah rakyat Malaysia.

Sementara, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Mohd Harun menyatakan sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak Malaysia direkrut dan dilatih menjadi anggota kumpulan militan ISIS atau pengganas Daesh di beberapa kem di Syria dan Iraq.

Bukan itu sahaja, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisen Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay sebelum ini turut mendedahkan bahawa terdapat dua kem latihan di Syria yang dikenal pasti merekrut dan melatih kanak-kanak dalam perjuangan kumpulan militan IS atau juga dikenali sebagai Daesh, yang mana difahamkan terdapat kira-kira 500 kanak-kanak mengikuti latihan di kem di negara berkenaan.

Melihat kepada senario tersebut, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar nyata tidak mahu membiarkan kumpulan militan ISIS ini terus ‘menyerang’ rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan kanak-kanak apabila menyatakan bahawa pihaknya komited melakukan yang terbaik dan menjalankan langkah-langkah pencegahan awal bagi memantau dan menghentikan sebarang percubaan merekrut kanak-kanak menyertai kumpulan tersebut.

Persoalannya, sejauhmana tahap ancaman kumpulan ISIS di Malaysia yang kini dilihat menyasarkan golongan kanak-kanak sebagai ‘pelapis’ kumpulan radikal tersebut dapat diatasi?

ISIS Aktif Rekrut Golongan Muda Secara ‘Online’
Foto:Reuters

Sebelum ini pihak polis mendedahkan, sekurang-kurangnya 500 akaun Facebook yang dikenal pasti menjalankan aktiviti mempromosi, merekrut serta cubaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk berjuang di Syria.
Mengulas mengenai isu tersebut, Penolong Profesor Pusat Pengajian Politik, Sejarah dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Nottingham (Malaysia), Guy Burton berkata, kewujudan teknologi seperti Facebook, WhatsApp dan forum secara tidak langsung telah membantu masyarakat terpengaruh dengan fahaman radikal.

Menurutnya, kebanyakan individu yang ‘termakan’ dengan fahaman tersebut mempunyai rasa kecewa dan marah terhadap situasi semasa dalam negara, mahupun dunia sehingga mendorong mereka menyertai kumpulan pengganas.

“Memegang kefahaman radikal tidak semestinya perlu melakukan keganasan. Beberapa kajian telah menyatakan bahawa beberapa faktor yang menyumbang kepada kewujudan kefahaman radikal,” katanya kepada Malaysian Digest.

Tambah Burton, rakyat Malaysia juga tidak terkecuali berpotensi untuk terpengaruh dengan fahaman radikal yang dibawa oleh golongan ISIS dan ideologi tersebut menjadi ancaman dalam negara.

“Ini adalah sesuatu yang kebanyakan masyarakat sedang tanggani, bukan sahaja Malaysia. Contoh, serangan IS yang berlaku di Paris pada November dan San Bernardino, California pada bulan lepas. Kemudian ada serangan di Jakarta minggu ini, yang nampaknya telah dilakukan oleh individu tempatan yang didorong oleh IS di Syria,” jelasnya.

Malah katanya, serangan pengganas juga dipercayai mempunyai kaitan dengan perubahan satu-satu dasar luar yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka sepertimana perang yang tercetus di Iraq pada 2003.

“Kerajaan di seluruh dunia menggunakan perkhidmatan perisikan dan keselamatan mereka (termasuk polis) sebagai cara untuk membendung dan menguruskan masalah ini. Kadang-kadang kita mendengar plot terbongkar sebelum apa-apa kejadian berlaku.

“Hanya sebahagian kecil kumpulan radikal yang bersedia untuk bertindak ganas, selebihnya adalah orang yang marah dan tidak berpuas hati. Lebih-lebih lagi dalam kalangan golongan muda, yang mempunyai idealisme berbeza pada dunia hari ini,” ujarnya.

Bagaimana Pendekatan Bagi Mengekang Penularan Dakyah Militan ISIS Menerusi Laman Sosial?

Mengambil contoh insiden yang berlaku di London yang berlaku pada Februari tahun lalu, membabitkan tiga pelajar perempuan yang dilaporkan hilang dan disyaki meninggalkan London untuk menyertai kumpulan militan IS, Burton menjelaskan bahawa penting untuk ibu bapa sentiasa berkomunikasi dan mengawasi gerak-geri anak-anak mereka terutamanya dalam kalangan remaja.

“Rakan (dan) keluarga perlu bercakap antara satu sama lain, untuk membincangkan apa yang sedang berlaku di dunia, perasaan mereka tentang hal itu, dan bagaimana mereka boleh membuat perbezaan tanpa perlu melakukan tindakan yang melampau.

“Dalam konteks ini, ibu bapa tidak banyak mengambil tahu dan berkomunikasi dengan anak-anak.

“Mungkin kanak-kanak perempuan merasakan mereka tidak mempunyai perbualan bersama ibu bapa mereka; mungkin ibu bapa mereka tidak menyangka anak-anak mereka terpengaruh dengan kumpulan terbabit, atau hanya menyangka bahawa dengan menyatakan sesuatu yang tidak boleh diterima (menyertai kumpulan pengganas) sudah mencukupi,” jelasnya yang juga merupakan bekas pelobi politik British.

Ibu Bapa – Awasi Anak Anda!

Dalam pada itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga tidak menafikan bahawa pengaruh militan ISIS di Malaysia adalah pada tahap yang membimbangkan dimana media sosial merupakan antara medium utama yang digunakan kumpulan militan tersebut memperluaskan ideologi mereka khususnya kepada kanak-kanak.
“Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak mereka dengan baik termasuk memastikan apa kandungan internet yang dilayari oleh anak-anak mereka. Kita bimbang jika ibu bapa tidak mengawasi penggunaan internet, ia akan disalah guna.

“Kerajaan dan pihak jabatan agama perlu memberi penjelasan dan pandangan sebenar mengenai pengertian jihad supaya golongan muda tidak salah faham tentang erti “jihad” dan terpengaruh dengan seruan golongan ISIS,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.

Musa juga tidak menolak kemungkinan bahawa segelintir rakyat Malaysia yang terlibat dalam kumpulan militan ISIS dipercayai telah dibiayai oleh pihak tertentu yang membolehkan mereka ‘mengembara’ ke Syria untuk tujuan menyertai kumpulan tersebut.

“Dan kerana itu pihak berkuasa perlu memeriksa semua rangkaian kewangan yang mencurigakan dari luar yang dimasukkan ke dalam negara.

“Ini penting untuk memastikan kita mengenalpasti sumber kewangan tersebut digunakan untuk tujuan yang betul,” katanya.

Semasa dibawah pentadbiran Musa, unit Operasi atau Anti Pengganas telah diubuhkan yang antaranya berfungsi untuk memerangi serta membendung ancaman berkaitan keganasan, jenayah terancang dan penggubahan wang haram, di samping menangani ancaman militan dan pengganas dari dalam dan luar negara.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ahmad El-Muhammady turut menyarankan cadangan yang sama iaitu keluarga memainkan peranan utama dalam membendung remaja daripada menyertai kumpulan ISIS dengan mengajar mereka makna jihad sebenar dan memantau perubahan tingkahlaku mereka.

"Mereka boleh kesan perubahan pemikiran dan tingkahlaku. Ibu bapa juga perlu pantau aktiviti Internet anak mereka,” katanya dipetik laporan sebuah portal berita, baru-baru ini.

"Kedua, rakan mereka juga boleh memainkan peranan dalam mengesan perubahan bentuk tingkahlaku mereka. Mereka perlu lapor perkara ini kepada pihak berwajib terutamanya polis untuk siasatan lanjut,” tambahnya yang juga merupakan salah seorang panel sidang Rumah Putih bagi mengatasi keganasan ekstremisme.

Golongan Muda Dipengaruhi Ideologi Songsang ISIS
Foto: Independent

Memetik kenyataan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Amidi Abdul Manan, keluarga dan guru perlu memahami dan mengambil bahagian menjelaskan kepada anak mereka tentang ilmu jihad, atau perjuangan suci, yang bukan semata-mata mengangkat senjata atau menggunakan kekerasan ke atas orang lain.

"Mereka perlu jelas, makna jihad ialah berusaha, dan perlu diamalkan dalam semua aspek kehidupan kita. Jika kita berusaha untuk menjadi orang yang lebih baik, dan memahami Islam, itu sudah jihad.

"Oleh itu, ibu bapa dan guru-guru mesti mengajar ini. Mereka juga perlu memahami tentang semangat remaja dan menanganinya dengan bijak. Remaja cenderung untuk menjadi idealistik dan keras kepala, dan masih dianggap kanak-kanak,” katanya dipetik sebagai berkata.

Selain nama yang bersandarkan Islam, adakah perjuangan “jihad” yang dibawa oleh kumpulan ISIS ini mengikut pendekatan syariat Islam yang betul sehinggakan ramai dalam kalangan umat Islam termasuk rakyat Malaysia terpengaruh dengan seruan kumpulan itu?

Menjawab persoalan tersebut, Ustaz Mohd Mustakim dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ketika dihubungi Malaysian Digest berkata, perjuangan “jihad” yang dibawa kumpulan ISIS secara jelas tidak menunjukkan perjuangan sebenar Islam dari segi akhlak, kefahaman, pendekatan syariat, kasih-sayang serta adab berperang.

Ini kerana, kata Mohd Mustakim, pegangan yang dibawa oleh ISIS adalah bercanggah dengan elemen penting dalam Islam, malah rata-rata ulama seluruh dunia menegaskan bahawa kumpulan ini membawa ajaran salah.

“ISIS yang dimaksudkan dalam Islam bukan sebagaimana yang diuar-uarkan oleh ISIS sekarang – mereka adalah pengganas.

“Ulama seluruh dunia termasuk di Malaysia melalui Jakim juga mengeluarkan fatwa yang menyatakan bahawa golongan ini hanya mempergunakan nama Islam, tetapi mengaplikasikan keganasan seperti golongan Taliban,” katanya.
Ditanya kenapa masih wujud rakyat Malaysia masih berminat menyertai ISIS sedangkan sedia maklum bahawa perjuangan golongan tersebut adalah salah, jelas Mohd Mustakim;

“Mereka yang menyertai ISIS dimomokkan dengan ganjaran syurga atau mati syahid. Individu tersebut biasanya mudah terpengaruh dan kebanyakan yang menyertai adalah dalam kalangan yang kecewa dengan kehidupan termasuk terbabit dalam kegiatan yang bertentangan dengan Islam seperti pelacuran, dadah dan sebagainya. Maka, dengan menyertai ISIS, individu terbabit boleh “berjihad”.”

Memetik kenyataan Persatuan Ulama Sedunia (International Union of Muslim Scholars - IUMS) yang dipengerusikan oleh Sheikh Yusuf Qardawi pada 4 Julai 2014 sebagai berkata, pihaknya menolak pengisytiharan negara Khalifah oleh kumpulan ISIS iaitu sebagai tidak sah, tidak realistik dan tiada sandaran hukum Islam.

IUMS dalam kenyataan tersebut juga memberi amaran bahawa perbuatan ini hanya memberi keuntungan kepada musuh Islam di Iraq dan Syria.

Kerajaan Malaysia Komited Banteras Keganasan - Anda Pula?

Susulan kebimbangan yang timbul mengenai ancaman keganasan di Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikrar bahawa kerajaan akan terus komited memerangi sebarang bentuk keganasan.

Beliau juga menyatakan komitmen beliau dalam membendung pelampau kaum dan agama.

“Ingin saya tegaskan Malaysia akan terus komited dalam memerangi habis-habisan sebarang bentuk keganasan dan juga sikap perkauman dan keagamaan melampau.

"Ini penting bagi mengekalkan keamanan, keharmonian dan keselamatan di negara ini," tulisnya di laman Facebook beliau.

Bermula tahun ini juga, Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa murid-murid sekolah di Malaysia akan dididik tentang bahaya kumpulan pengganas ISIS menerusi satu modul khas.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon, inisiatif tersebut merupakan usahasama Kementerian Pendidikan dan polis, yang akan memperkenalkan siri taklimat bagi para pelajar untuk mendidik mereka tentang ancaman pengganas.

Video dibawah membuktikan kepada seluruh masyarakat dunia termasuk Malaysia, bahawa mereka perlu mengawasi anak masing-masing. Tdak hanya dengan pendidikan, komunikasi, awasi dan dekati anak anda, itu yang penting!

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »